Home Ekonomi Hati-hati sindiket perdaya pembayar cukai – LHDN

Hati-hati sindiket perdaya pembayar cukai – LHDN

Logo Lembaga Hasil Dalam Negeri

PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan beberapa cubaan yang menggunakan nama dan logo agensi itu untuk menipu pembayar cukai.

Modus operandinya ialah dengan menghantar emel palsu kepada pembayar cukai dan memaklumkan mereka mempunyai amaun cukai terlebih bayar yang perlu dikembalikan oleh LHDN.

Melalui emel tersebut, sindiket berkenaan akan meminta arahan mendedahkan butiran akaun bank pembayar cukai bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dibuat oleh LHDN.

LHDN berkata, pihaknya tidak pernah menghantar emel kepada pembayar cukai untuk meminta pembayar cukai mendedahkan nombor akaun bank mereka.

Ini kerana maklumat akaun bank akan diperoleh melalui pengisytiharan oleh pembayar cukai dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan setiap tahun.

Lagipun, lebihan bayaran balik cukai pendapatan yang berjaya diproses berdasarkan maklumat yang betul juga akan dikreditkan terus oleh LHDN ke akaun bank pembayar cukai menerusi beberapa cara.

Antaranya secara pemindahan dana elektronik (EFT), Baucar Bayaran Balik Cukai (BBBC) atau Cek Berpalang dan pemindahan telegrafik bagi pembayar cukai yang mempunyai akaun di luar negara.

LHDN menambah, sindiket itu juga akan menghantar Surat Tuntutan Cukai Tertunggak yang palsu kepada orang ramai.

“LHDN akan mengeluarkan surat peringatan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun cukai tertunggak namun penerima surat tersebut perlu memastikan surat tersebut adalah benar-benar tulen daripada LHDN,” ujarnya.

LHDN berkata, pengesahan ketulenan surat tunggakan cukai boleh dibuat melalui Hasil Careline di 1-800-88-5436 atau Talian Hasil Recovery Call Centre di 1-800-88-4726 atau nombor talian Cawangan LHDN yang mengeluarkan surat tersebut.

Sebarang pembayaran mesti dibuat atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia sahaja.

Malah, LHDN tidak mengamalkan kaedah mengunjungi premis pembayar cukai bagi mengutip cukai tertunggak secara tunai.

Jelasnya, kunjungan ke premis pembayar cukai akan dilakukan melalui operasi secara berkala seperti Operasi KUTiP dan kaedah kutipan cukai tertunggak yang dilakukan adalah hanya melalui cek atau draf bank atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Sehubungan itu, LHDN meminta orang ramai memeriksa kad pengenalan diri dan merekodkan butiran pegawai LHDN yang datang ke rumah, selain penjelasan peruntukan undang-undang yang diguna pakai berkaitan dengan lawatan tersebut.

Orang ramai juga dinasihatk merekodkan nama serta nombor perhubungan penyelia yang menyelia pegawai tersebut serta menghubungi talian Hasil Careline di 1-800-88-5436 untuk pengesahan. -MalaysiaGazette