PULAU PINANG – Keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan projek di tapak tragedi tanah runtuh adalah berdasarkan penilaian dibuat kira-kira 22 agensi teknikal yang menganggotai Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu-Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak bergantung semata-mata kepada penilaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memberikan kelulusan tersebut.
“Apabila permohonan sesebuah projek pembangunan dipertimbangkan dalam mesyuarat OSC, agensi-agensi teknikal akan diminta memberi pandangan.
“Pertimbangan pada masa itu adalah berdasarkan semua agensi ini, bukan satu agensi sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai surat daripada JAS Pulau Pinang bertarikh 23 Januari 2015 yang tidak menyokong projek perumahan di tapak tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah di sini.
Menerusi surat itu, JAS menolak rayuan bagi pembinaan projek tersebut kerana jarak antara tapak projek dengan kawasan operasi kuari terlalu hampir iaitu kira-kira 169 meter.
Menurut Pengarah JAS negeri ketika itu, Nor Hayati Yahaya, jarak tersebut tidak memenuhi keperluan zon penampan yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Penempatan dan Pengezonan Kawasan Industri dan Perumahan Awam.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuat laporan polis terhadap kemungkinan berlakunya kecuaian profesional dalam tragedi tanah runtuh berkenaan.
Katanya, laporan itu bagi membolehkan polis menyiasat dan mendakwa mana-mana pihak yang didapati cuai dalam melaksanakan tanggungjawab sehingga berlakunya tragedi tersebut.
Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif berkata, pihaknya berpendirian tragedi tersebut merupakan kejadian kemalangan di tapak pembinaan.
Tambah beliau, pihaknya juga mendapati wujud kecurigaan terhadap kecuaian pengendalian dan pengurusan di tapak projek berkenaan yang menjurus kepada tragedi berkenaan.
“Projek itu diluluskan mengikut garis panduan keselamatan bagi pembangunan cerun bukit 2012 selain turut mendapat sokongan Jabatan Mineral dan Geosains.
“Malah, jarak tapak projek itu dengan lokasi kerja-kerja peletupan dan penghancuran dari tapak kuari juga adalah kira-kira 500 meter dan 180 meter iaitu jarak yang dibenarkan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi kelmarin, 11 pekerja di sebuah tapak binaan di Tanjung Bungah di sini maut ditimbus tanah runtuh ketika bekerja berhampiran lereng bukit di lokasi kejadian.
Mayat kesemua mangsa terdiri daripada 10 warga asing dan seorang rakyat tempatan itu berjaya dijumpai pasukan mencari dan menyelamat dengan mayat terakhir dijumpai kira-kira pukul 7 pagi tadi.- MalaysiaGazette