Home Politik Isu Wisma Tok Guru: Bukan provokasi terhadap PAN

Isu Wisma Tok Guru: Bukan provokasi terhadap PAN

Perebutan dua kumpulan antara Pas dan PAN Kelantan ke atas bangunan Wisma Tok Guru

KOTA BHARU – Bukan mahu provokasi tetapi hanya untuk menyampaikan mesej kepada Parti Amanah Negara (PAN) supaya mengosongkan Wisma Tok Guru sebelum 16 November ini dengan apa cara sekali pun.

Itu kenyataan yang daripada Dewan Pemuda Pas Kelantan selepas berlaku ketegangan di antara pihaknya dengan PAN ekoran tindakan ahli Pas memasang bendera di kawasan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor di sini malam tadi.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Nazman Che Iberahim berkata, notis supaya mengosongkan bangunan itu telah dikeluarkan oleh pemilik tanah pada 15 Oktober lalu namun PAN dikatakan cuba mengingkarinya apabila bercadang mengadakan program pelancaran jentera pilihan raya parti itu pada bulan depan.

“Tidak ada alasan untuk PAN tidak mematuhi arahan tersebut kerana jelas tanah dan bangunan tersebut adalah milik Pas.

“Bila kita letakkan bendera di kawasan ini maka itu adalah satu petanda bahawa dengan apa cara sekalipun kena keluar sebelum atau pada 16 November ini, kita tidak mahu lagi melihat kelibat PAN,” katanya di sini hari ini.

Hari ini PAN Kelantan menyifatkan tindakan sekumpulan ahli dan penyokong Dewan Pemuda Pas negeri itu melakukan provokasi di hadapan bangunan Wisma Tok Guru di Salor, dekat Kota Bharu malam tadi, sebagai kebudak-budakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi, sekumpulan lebih 150 penyokong Pemuda Pas Kelantan termasuk Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi berkumpul di pekarangan Wisma Tok Guru untuk memasang bendera.

Bagaimanapun, usaha mereka cuba dihalang sekumpulan penyokong PAN dan PH negeri diketuai Ketua Pemuda PAN Kelantan, Hazmi Hassan yang berada di situ lebih awal sebaik mengetahui rancangan kumpulan Dewan Pemuda Pas untuk ‘mengambilalih’ bangunan pejabat itu.

Wisma Tok Guru yang terletak di Kampung Pendek, Salor, dekat Kota Bharu menjadi perebutan antara Pas dengan PAN kerana masing-masing mendakwa bangunan itu milik mereka.

Sebelum ini media melaporkan PAN mungkin terpaksa mencari bangunan baharu untuk menempatkan pejabat mereka apabila menerima notis mengosongkan wisma tersebut.

Difahamkan, notis tersebut dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, Datuk Husam Musa dan markas PAN Kelantan.- MalaysiaGazette

Penyokong Pas serbu pejabat PAN Salor, mahu rampas bangunan

Comments are closed.