KAJANG – Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusuf Azmi mendakwa, ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang tidak senang dengan tindakan tegasnya dalam membantu mangsa penipuan.
Sambil mempersoalkan pihak terbabit sehingga dirinya didakwa di mahkamah hari ini, Yusuf berkata, beliau kesal kerana hasrat murninya mahu melihat negara ini bebas daripada amalan tidak sihat diganggu.
Katanya, apa yang berlaku pada hari ini sangat memalukan bukan pada dirinya tetapi kepada segelintir kepimpinan negara ekoran ‘tangan-tangan ghaib’ itu dakwanya melibatkan mereka.
“Walaupun saya dihadapkan ke mahkamah untuk tuduhan di bawah Seksyen 427 dan 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan perbuatan khianat ia tidak menjadi hal.
“Tapi, yang menjadi persoalan siapakah pemimpin berkenaan yang mengarahkan supaya saya dituduh di mahkamah.
“Kalau beginilah apa yang berlaku, tidak akan ada lagi orang yang mempunyai jiwa untuk membela (nasib golongan tertindas) dan menjadi saksi kerana akan dituduh dan ditangkap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai urusan membayar jaminan di Kompleks Mahkamah Kajang di sini hari ini.
Menurut Yusuf, dia pelik dan keliru dengan sistem perundangan di negara ini apabila merasakan pihak yang mahu menolong mereka yang menjadi mangsa kepada sesuatu penipuan dan jenayah ditangkap dan dituduh di mahkamah.
“Adakah kita di Malaysia ini dikawal oleh orang politik. Adakah kita ini dikawal dengan perundangan di negara ini?
“Adakan budaya di Malaysia ini perlu diadakan persatuan perompak-perompak kerana orang yang merompak tidak akan ditangkap.
“Contohnya apa yang berlaku dalam kes Datuk Kabi.
Datuk Kabi tidak dituduh berkenaan dengan kes ini. Dia juga tidak ditangkap dan tidak dibawa di mahkamah.
“Kenapa saya ni yang membela dan siap tutup pagar dan ada video tapi saya pula yang dituduh, sedangkan apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat,” katanya sambil memberitahu apa yang berlaku tidak akan mematahkan semangatnya.
Yusuf bersama seorang lagi, Ali Salimin yang merupakan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan melakukan khianat dan pencerobohan sebuah stor kereta di sini pada Julai lalu.
Mereka dibebaskan masing-masing dengan jaminan RM5,000 dan mahkamah menetapkan 24 November untuk sebutan semula. – MalaysiaGazette
ini lah undangĀ² malaysia. tengok Rafizi tu bagaimana dia, nak bela rakyat kena sanggup masuk penjara .penipu dan perompak bebas sebab dia ada kesatuan 1Malaysia .
Rafizi didakwa dan akan penjarakan kerana memfitnah Tabung Haji. Kita boleh bela sesiapa juga tetapi tertakluk kepada undang-undang