PETALING JAYA – Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao memberi empat tips kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya mahu memenangi hati pengundi masyarakat India pada PRU-14 nanti.
Ujarnya, keempat-empat tips itu berdasarkan suara hati masyarakat India yang sering didengarinya.
Tips pertama, menambahkan kuota pengambilan pekerja bagi masyarakat India di sektor awam.
“Masyarakat India perlu ada dibahagian pentadbiran. Sekarang cuma tiga hingga empat peratus, jadi sekarang perlu tambah kepada 7.5 peratus,” ujar Ramesh.
Seterusnya, kuota perumahan projek perumahan rakyat sekarang kurang tiga peratus kepada masyarakat India. Justeru kuota tambahan perlu bagi membantu masyarakat India yang tidak mampu.
Tips ketiga, menyerapkan mahasiswa dan mahasiswi India yang cemerlang ke dalam perkhidmatan kerajaan.
“Boleh dikatakan setiap minggu mesti ada graduan yang jumpa saya untuk minta sokongan. Jumlah yang cemerlang tak ramai, kalau mereka diserap secara automatik ia tak akan menggugat kaum-kaum lain,” tambah Ramesh dalam sidang media di pejabatnya hari ini.
Tips terakhir, memberi biasiswa kepada pelajar Sijil Tinggi Penilaian Malaysia yang cemerlang. Ini bagi memastikan pelajar cemerlang tidak tercicir daripada menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi.
“Saya bagi jaminan 95 peratus pengundi masyarakat India akan kembali kepada BN. Tuntutan ini adalah hasil kajian yang saya jalankan berdasarkan aduan yang saya terima setiap dari seluruh negara,” jelasnya.
Ramesh memberitahu, sekiranya perkara ini ditunaikan ia tidak akan menjejaskan kaum lain di Malaysia. – MalaysiaGazette
Saya setuju dengan apa yang dikatakan oleh DS Ramesh. Ini adalah keperluan asas yang patut diperuntukan kepada kaum India.
Soalan saya kenapa baru sekarang?
Kenapa kerajaan BN tidak peka dengan keadaan sebenar kaum India? DS.. Terima kasih kerana suarakan pendapat anda.