Home Seni Hidup Pameran karya warga emas, erat silaturahim antara kaum

Pameran karya warga emas, erat silaturahim antara kaum

PETALING JAYA – Pameran kesenian yang dianjurkan oleh University of Third Age (U3A) di One Utama disini menampilkan karya-karya seni yang dihasilkan oleh golongan warga emas daripada pelbagai latar kaum termasuk Melayu, Cina dan India.

Pengerusi Permodalan Risda Berhad, Datuk Ismail Kijo berkata, selain menampilkan kebolehan warga emas dalam menghasilkan karya-karya seni, program tersebut juga mampu mengeratkan silaturahim antara kaum dalam masyarakat kita.

Justeru, beliau berharap agar pameran-pameran seperti ini dapat dianjurkan dari masa ke semasa, dan melibatkan pelbagai latar pengkarya dari pelbagai peringkat umur, kaum dan sebagainya.

“Pameran ini menampilkan pelbagai hasil karya seni yang menarik daripada golongan orang tua. Siapa sangka, golongan ini masih mampu menghasilkan karya-karya seni meskipun tenaga makin berkurangan oleh faktor umur,” katanya semasa merasmikan pameran yang sama hari ini.

Apa yang menariknya, Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Ampang itu memberitahu, program sedemikian mampu menepis tomahan luar atau mana-mana pihak yang menganggap negara kita ini sedang mengalami krisis perkauman.

“Program sebegini mampu menunjukkan nilai bangsa Malaysia kita yang bersatu-padu tidak kira latar kaum dan agama.” – MalaysiaGazette

Comments are closed.