Home Nasional Agenda perbandaran baharu diperkenal – Noh

Agenda perbandaran baharu diperkenal – Noh

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (dua kiri) diiringi Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique (dua kanan), Ketua Eksekutif URBANICE Malaysia, Norliza Hashim (kanan) dan Sekretariat UN Habitat, Ana Moreno (kiri) menunjukkan dokumen Agenda Perbandaran Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini menggariskan lima aspek utama sebagai standard pembangunan bandar dalam tempoh 30 tahun akan datang menerusi Dokumen Agenda Perbandaran Baharu.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata aspek tersebut adalah Dasar Perbandaran Negara, Perundangan dan Peraturan Perbandaran, Reka Bentuk dan Perancangan Perbandaran, Sistem Kewangan Majlis Perbandaran dan Ekonomi Bandar serta Pelaksanaan Tempatan.

“Agenda ini menawarkan satu anjakan paradigma dalam cara kita berfikir, membina dan mewujudkan rantaian rakan pembangunan dalam menguruskan bandar- bandar pada masa akan datang secara holistik dan mampan.

“Dokumen Agenda Perbandaran Baharu ini berbentuk kenyataan politik yang akan mencorakkan hala tuju berkait dengan kemampanan bandar dengan menjadikannya lebih inklusif, selamat , berdaya tahan dan sejahtera,” katanya ketika merasmikan pengenalan agenda itu di sini, hari ini.

Beliau berkata dokumen berkenaan telah diterima pakai oleh 170 negara Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) semasa persidangan Habitat III di Quito, Ecuador pada 20 Okt 2016.- BERNAMA