Home Nasional Rakyat Malaysia ditahan bersama 1kg heroin di Woodlands

Rakyat Malaysia ditahan bersama 1kg heroin di Woodlands

Lelaki yang menunggang motosikal bernombor pendaftaran Malaysia tiba di pusat pemeriksaan itu kira-kira 6.30 pagi ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh pegawai dari Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA). - Gambar hiasan

SINGAPURA – Pihak berkuasa Singapura menahan seorang lelaki Malaysia berusia 25 tahun dan merampas kira-kira satu kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai S$106,000 (S$1=RM3.10) di pusat pemeriksaan Woodlands hari ini.

Lelaki yang menunggang motosikal bernombor pendaftaran Malaysia tiba di pusat pemeriksaan itu kira-kira 6.30 pagi ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh pegawai dari Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Semasa pemeriksaan, pegawai ICA dan Biro Narkotik Pusat (CNB) mengesan dua bungkusan disyaki mengandungi dadah terkawal di bawah tempat duduk motosikal itu.

Lelaki itu kemudian ditahan dan kes diserahkan kepada CNB untuk siasatan lanjut.

Dua bungkusan itu didapati mengandungi kira-kira 1kg heroin.

“Siasatan sedang dijalankan,” menurut ICA dan CNB dalam satu kenyataan bersama di sini.

Kenyataan itu menyebut Akta Penyalahgunaan Dadah memperuntukkan hukuman mati jika jumlah diamorphine (atau heroin tulen) yang diseludup melebihi 15g.

— BERNAMA