KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa mengakui beliau orang Tun Dr. Mahathir Mohamad, malah 23 tahun mempertahankan mantan Perdana Menteri itu ketika berkuasa dalam parti.
Ketua Penerangan UMNO itu berkata, sebelum itu, beliau adalah orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah dan terpaksa meninggalkan bekas Menteri Kewangan itu kerana sedar keluar dari parti untuk menubuhkan parti baharu adalah seorang yang tidak mempunyai matlamat perjuangan.
Annuar berkata, beliau meninggalkan Mahathir dan menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak mahu bersama individu yang mengutamakan kepentingan diri daripada parti.
“Kalau tanya saya kenapa sekarang ini saya sokong Najib, bukan Tun Mahathir? Pada saya mudah saja, dalam politik kita perlu pandai bezakan antara individu dengan kepentingan ramai dan juga soal individu dengan parti.
“Saya menyokong Perdana Menteri (Najib) sekarang kerana dia mempertahankan parti. Tidak seperti Tun Mahathir, kalau ada agenda tertentu dia sanggup buat apa saja, malah sanggup tinggalkan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program santai, ‘Anda Tanya, Saya Jawab’ di Bangunan Utama Parlimen di sini, hari ini.
Empat tetamu yang mengemukakan soalan pada program itu ialah pelajar dari Universiti Malaysia Perlis, Chan Siew Cheng; pelajar Universiti Malaysia Sarawak, Gary a/l John (suku kaum Iban); pelajar Universiti Malaya, Geetha Lakshimy Tamilmaran; dana pelajar Universiti Malaysia Sabah, Masran Mosog (suku kaum Dusun).
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahlli Parlimen Ketereh menyatakan, setiap pemimpin diberi kesesuaian pada zaman masing-masing.
“Jika lepas zaman dia (Tun Mahathir) pun nak jadikan zaman orang lain (Najib) sekarang seperti zamannya, (pegangan) itu sudah tidak relevan lagi dan tidak boleh (buat begitu).
“Saya tengok Najib sekarang ini seorang pemimpin yang mempunyai kualiti cukup istimewa. Antara, sepanjang dalam parti, dia (Najib) tidak suka kacau orang (pemimpin lain). Dalam sejarah politiknya, dia tidak lawan Perdana Menteri, Dia dapat jawatan mengikut merit dia sendiri dan dia seorang yang sangat sabar.
“Saya masih ingat waktu saya dalam Pergerakan Pemuda, Tun Mahathir tiba-tiba lantik (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim sebagai Ketua. Padahal Anwar anti-UMNO dan Najib selayaknya, tapi Najib akur arahan Tun Mahathir. Dia tidak lawan siapa-siapa,” katanya.
Kata Annuar, kerana sikap sabar dan perjuangan Najib mempertahankan parti, beliau menyokong Presiden UMNO itu serta sangat yakin dengan kebolehannya memimpin parti. – MalaysiaGazette
Comments are closed.