Home Utama Siapa bunuh, toreh tapir?

Siapa bunuh, toreh tapir?

HULU LANGAT – Video kejadian seekor tapir yang mati di Taman Desa Saujana Langat, Hulu Langat, mengundang kemarahan orang ramai, terutama dari kalangan pengguna laman sosial.

Kejadian pada malam Selasa itu menunjukkan seekor tapir yang juga merupakan spesis terancam memasuki kawasan perumahan awam dipercayai daripada hutan berdekatan.

Orang awam kemudiaannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Bomba.

Bagaimanapun, melalui video yang tersebar itu, orang awam mempertikaikan kaedah yang digunakan oleh pasukan penyelamat dengan menjerut leher haiwan terancam itu dengan menggunakan tali sehingga menyebabkan kematian tapir itu.

Lebih malang, bangkai haiwan itu yang ditinggalkan di tempat kejadian kemudian didapati disiat kulitnya setelah ditemui pada keesokan hari.

Ekoran itu, Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengarahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan siasatan terhadap perkara itu.

Dalam satu kenyataan, beliau menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak yang menoreh kulit bangkai haiwan itu.

“Makluman awal telah diterima iaitu orang ramai telah cuba membantu termasuk pihak APM, bomba dan PDRM untuk menyelamatkan tapir berkenaan yang dipercayai termasuk atau terjatuh ke dalam parit.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Perhilitan membuat laporan polis dan memulakan siasatan ke atas perkara tersebut.

“Saya juga ingin meminta orang ramai untuk terus menghubungi Jabatan Perhilitan sekiranya kejadian seumpama ini berlaku lagi,” katanya – MalaysiaGazette