Home Nasional Lapor polis jika tahu borang Pekira diseleweng – Ridzuan

Lapor polis jika tahu borang Pekira diseleweng – Ridzuan

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA), Mohd Ridzuan Abdullah (dua kiri) bersama ahlinya meneliti pakaian rasmi parti mereka selepas selesai sidang media khas berkenaan PRU14 dan isu semasa di Restoran Sate Kajang Hj. Samuri, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 OKTOBER 2017.

KAJANG – Pengerusi Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) di negeri-negeri diminta membuat laporan polis sekiranya mendapati apa pihak cuba menyeleweng borang kemasukan keahlian parti itu.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, sebagai pemimpin di bahagian masing-masing mereka perlu bertanggungjawab untuk memastikan agar tidak ada pihak mencemar nama baik parti yang ditubuh untuk kebajikan rakyat dan golongan usahawan itu.

“Parti ini bukan tempat untuk beri peluang kepada individu yang dah buat silap lepas itu boleh minta maaf dan lepaskan.

“Sekiranya mana-mana pihak menggunakan borang Pekira, siapa yang buat kutipan lebih, segera buat laporan polis. Lepas ni kita tak boleh tunggu lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada mesyuarat khas parti itu di sini malam tadi.

Menurut Mohd Ridzuan, tindakan tegas itu perlu diambil bagi mengelak tanggapan negatif orang ramai terhadap parti yang memperjuangkan nasib pengguna terutama berhubung rungutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, beliau bimbang usaha murni yang dilakukan oleh Pekira sejak tertubuh beberapa bulan lalu akan menjadi sia-sia disebabkan anasir jahat yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Ridzuan berkata, pihaknya sebelum ini mengenalpasti ada pihak mengeksploitasi borang kemasukan keahlian baru parti berkenaan.

Perkara itu dikesan apabila lebih 12,000 daripada 30,000 borang yang diedarkan masih tidak dikembalikan ke ibu pejabat Pekira di Kuala Lumpur.

Ridzuan berkata, pihaknya mendapat tahu bahawa ada individu-individu yang telah mempergunakan borang keahlian asal serta mengutip bayaran namun ia tidak sampai ke pihak pengurusan.

Kecewa dengan perkara itu Ridzuan berkata, beliau tidak mahu hasrat murni parti itu yang mahu memperkasakan golongan usahawan serta membantu kerajaan mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) terjejas gara-gara sikap tidak bertanggungjawab pihak terbabit. – MalaysiaGazette

Comments are closed.