KUALA LUMPUR – Di sebalik ketidaktentuan faktor luaran seperi keadaan pasaran kewangan global yang semakin ketat serta beberapa negara utama mengubah dasar monetari bagi menangani ketidaktentuan ini, penunjuk dasar monetari
Malaysia masih kekal akomodatif.
Laporan Ekonomi 2017/2018 melaporkan, Jawatankuasa Dasar Monetari mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam tujuh bulan pertama 2017 bagi menyokong ekonomi Malaysia.
Nilai ringgit juga meningkat berikutan perkembangan ekonomi domestik yang memberangsangkan.
“Dasar monetari pada 2017 terus memberi tumpuan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mapan di samping mengekalkan kestabilan harga.
“Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2017, OPR dikekalkan pada 3 peratus dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) pada 3.5 peratus.
“Pada kadar semasa OPR, dasar monetari yang akomodatif diteruskan untuk mengimbangi risiko pertumbuhan domestik dan jangkaan inflasi,” lapornya.
Kerajaan mensasarkan inflasi tumbuh ada kadar tiga hingga empat peratus pada 2017 dengan perkembangan KDNK diunjur antara 5.2 peratus hingga 5.7 peratus.
Menyentuh mengenai ringgit, mata wang negara itu terus mengukuh bersama kebanyakan mata wang utama dan serantau lain berbanding dolar Amerika dalam tempoh lapan bulan pertama 2017.
Dari Januari sehingga akhir Ogos, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 5.1 peratus berbanding dolar Amerika.
Peningkatan ringgit didorong oleh kemasukan semula aliran dana bukan pemastautin ke pasaran kewangan Malaysia berikutan keadaan ekonomi domestik yang semakin menggalakan.
Sentimen positif ringgit itu turut disokong oleh langkah yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) pada Disember tahun lalu dan April 2017.- MalaysiaGazette