KUALA LUMPUR – Bajet 2018 akan memberi tumpuan kepada usaha mempergiat pelaburan domestik dan membangunkan generasi masa hadapan, kesejahteraan rakyat dan meningkatkan keterangkuman.
Inisiatif itu akan terus memperkukuhkan fundamental ekonomi negara dan menyediakan asas untuk TN50 meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 negara teratas pada tahun 2020.
Bajet 2018 juga bakal memberi tumpuan menggalakkan pelaburan domestik untuk merangsang pertumbuhan dan meningkatkan pembangunan seimbang di seluruh negara, menurut Laporan Ekonomi 2017/2018
Antaranya projek ECRL, Lebuh Raya Pan Borneo dan Rel Berkelajuan Tinggi. Projek lain untuk menambah akses dan kesalinghubungan termasuk menaik taraf jaringan jalur lebar, pelabuhan, landasan keretapi berkembar dan lapangan terbang.
Usaha juga diambil untuk menarik pelaburan besar dalam bidang pertumbuhan baru seperti digital, pelancongan perubatan, industri halal dan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Selain itu, dana bagi pembangunan hibrid baru bagi kelapa dan durian serta insentif untuk PKS bagi memanfaatkan Revolusi Industri 4.0.
Dalam membangunkan generasi masa depan, kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan dan matematik.
Pendidikan dan latihan formal akan dipertingkat untuk memperkukuh hala tuju dasar dan rangka kerja peraturan TVET serta menambah baik kerjasama dengan sektor swasta, juga meluaskan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).
Kerajaan akan memperuntukan dana bagi pelbagai program kemahiran bersilang, peningkatan kemahiran, latihan semula dan kemahiran kepakaran.
Laporan Ekonomi ini menambah, kerajaaan akan memperluaskan program rent-to-own kepada kumpulan pendapatan rendah bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat dalam Bajet 2018.
Akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan berkualiti serta keperluan asas termasuk bekalan elektrik dan air bersih diperluaskan di seluruh negara.
Bajet 2018 turut memberi tumpuan kepada pembangunan bandar dan luar bandar termasuk menaik taraf jalan persekutuan dan negeri serta jambatan.
Pelbagai program khas juga diwujudkan untuk masyarakat pribumi, program sokongan bagi pelajar miskin dan mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar.
Peruntukan juga akan disalur untuk memperkasasaakan masyarakat Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette