Home #Bajet2018 Durian runtuh untuk peneroka Felda

Durian runtuh untuk peneroka Felda

Menara Felda Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Seperti kelaziman, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah melupakan warga Felda.

Semasa pengumuman Bajet 2018 di Parlimen hari ini, Menteri Kewangan itu mengumumkan durian runtuh melalui enam insentif utama antaranya melibatkan pembayaran Insentif Khas Peneroka bernilai RM5,000.

Selain itu, kerajaan juga akan mengembalikan wang yang telah dibayar oleh peneroka getah yang telah membuat tanaman semula kelapa sawit dari tahun 2010 higga 2016.

“Ini akan memanfaatkan 8,925 peneroka Felda dengan peruntukan RM43 juta.

“Bukan itu sahaja, RM60 juta akan disediakan untuk program tanaman sawit,” katanya.

Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM164 juta untuk membina 5,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda dengan kerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB).

Sejumlah RM200 juta lagi diperuntukkan kepada Felda untuk menaik taraf sistem bekalan air, jalan dan lampu jalan.

“Mustahaknya, kerajaan kini, dulu dan selamanya akan memperjuangkan nasib peneroka Felda,” katanya lagi. -MalaysiaGazette