KUALA LUMPUR – Kerajaan terus menambah baik pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan tidak mengenakan cukai tersebut ke atas semua pembekalan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuatkuasa 1 April 2018 atau 1 Oktober 2018 mengikut pilihan PBT tersebut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan kadar sifar GST diseragamkan ke atas bahan bacaan meliputi semua jenis majalah, komik, jurnal dan terbitan berkala mulai 1 Januari ini.
Bagi perkhidmatan pembinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat yang dibayai sumbangan derma yang diluluskan bakal menerima pelepasan GST sepenuhnya.
Pelepasan ini berkuatkuasa bagi kontrak perkhidmatan pembinaan yang ditandatangani mulai 1 April 2017.
Dalam pada itu, pelepasan GST diberi ke atas pengimportan peralatan berkaitan industri minyak dan gas di bawah satu perjanjian pajakan, dibekalkan oleh syarikat yang berada di kawasan ditetapkan iaitu Labuan, Langkawi dan Tioman kepada pelanggan di Malaysia mulai 1 Januari 2018.
Pelepasan GST turut diberi ke atas pengimportan big ticket items seperti kapal terbang dan kapal laut oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia.
Pelepasan GST turut diberikan kepada syarikat di dalam industri minyak dan gas yang mengimport pelantar minyak atau struktur terapung. Langkah ini bermula 1 Januari 2018.
Selain itu, perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan kediaman berstrata yang dibekalkan oleh Badan Pengurusan Bersama dan perbadanan pengurusan yang kini tidak dikenakan GST, diperluas untuk meliputi perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan yang dibekalkan oleh pemaju perumahan mulai 1 Januari 2018. – MalaysiaGazette