KUALA LUMPUR – Bajet 2018 menyaksikan pelbagai pendekatan untuk membantu Malaysia dan rakyat negara ini pada masa depan.
Ia termasuk lebih banyak pembangunan infrastruktur dalam logistik, menyedia dan mempromosikan ekonomi digital dan memacu produktiviti dan automasi, selain tumpuan kepada pembangunan modal insan dan pelaburan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Berhad (Maybank), Datuk Abdul Farid Alias berkata, Bajet 2018 turut menumpukan kepada objektif kerajaan sekarang untuk meningkatkan pendapatan boleh guna bagi B40 untuk mengurangkan tekanan hidup dan menyokong perbelanjaan pengguna.
Selain itu, meningkatkan lagi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan pengekodan dalam sistem pendidikan dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Perusahaan bersaiz Kecil dan Sederhana turut mendapat sokongan melalui peruntukan pembiayaan dan kredit dan pengecualian cukai untuk pasaran modal yang meliputi pelbagai aktiviti, produk dan pelabur seperti ETF, waran berstruktur, pelaburan sosial dan bertanggungjawab, pelabur modal kapitalis dan pasaran modal.
“Keseluruhannya, kami juga melihat bajet ini positif bagi sektor penggunaan, infrastruktur, pelancongan dan kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Abdul Farid berkata, kerajaan meneruskan pendekatan bijak dalam pengurusan fiskal seperti yang dapat dilihat dengan peningkatan defisit fiskal secara beransur-ansur.
Pendekatan ini amat mencabar untuk dilaksanakan apabila pasaran luar terus berubah-ubah, sementara pada masa yang sama cuba meminimumkan kesan negatif terhadap pasaran domestik dan penduduk umum. – MalaysiaGazette