Home #Bajet2018 Bajet 2018 bantu BN raih kemenangan besar – TPM

Bajet 2018 bantu BN raih kemenangan besar – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2017.
KUALA LUMPUR – Bajet 2018 diakui sebagai belanjawan yang bakal dijadikan senjata ampuh Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) susulan ia dibentangkan ketika tempoh penggal ke-13 Parlimen bakal berakhir tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak belanjawan itu bakal melonjakkan sokongan pengundi kepada BN pada pilihan raya akan datang.

“Ya (menang besar), jika anda sokong, semua orang sokong, saya fikir kita kena kerja keras dan kerja bijak untuk mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang.

“Kita kena terjemah komitmen kita menerusi bajet baik ini bukan sahaja oleh Perdana Menteri bahkan komitmen semua menteri, jabatan dan agensi kerajaan,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2018 di Parlimen, di sini petang tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2018 bertemakan ‘Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50, di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan buku Bajet 2018 selepas membuat pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2017.
Bajet 2018 memperuntukkan sebanyak RM280.25 bilion, meningkat daripada RM260.8 bilion pada 2017, dengan RM234.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Ahmad Zahid juga menyifatkan Bajet 2018 sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah BN memerintah Malaysia dengan pertambahan peruntukan hampir RM20 bilion.

“Ya, pertambahan hampir RM20 bilion merupakan bajet yang terbesar setakat ini.

“Saya fikir untuk RELA khususnya, peruntukan sebanyak RM250 juta adalah merupakan peruntukan terbesar, tahun lepas bajetnya hanya RM40 juta, kerana RELA mempunyai keahlian 3.05 juta orang.

“Tentunya dengan bajet sebegitu, ianya akan dapat memberikan pakaian seragam kepada mereka yang aktif dan saya jangkakan 25 peratus daripada mereka ini sangat aktif dan mereka layak untuk berpakaian seragam baharu,” katanya.

Beliau juga berkata, Bajet 2018 menunjukkan pengecilan defisit sehingga tiga peratus, sekali gus mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara seimbang berbanding dengan pendapatan.

“Ia tentunya digemari oleh agensi-agensi penarafan yang mahu melihat bahawa pertumbuhan ekonomi dengan pendapatan yang seimbang dan mengecilkan defisit antara perolehan dengan pendapatan.

“Ia satu belanjawan yang cukup cemerlang bagi saya selama Datuk Seri Najib mengetuai Kementerian Kewangan dan menjadi Perdana Menteri,” ulasnya.

Ahmad Zahid juga turut berbesar hati apabila Perdana Menteri memberi pengiktirafan kepada beliau dalam belanjawan kali ini.

“Saya amat berasa teruja dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya sebagai sahabat setia.

“Ia melebihi daripada bajet yang ada bila penghargaan diberikan oleh seorang ketua kerajaan kepada timbalannya dan sebagai sahabat lama yang sama-sama dengan beliau, saya rasa amat dihargai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette