LONDON – Britain tidak akan mengiktiraf pengisytiharan kemerdekaan Catalonia dari Sepanyol, kata Perdana Menteri Teresa May.
Sepanyol kini berada dalam situasi sukar apabila tercetusnya ketegangan selepas rakyat Catalonia mengundi untuk keluar dari Sepanyol.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Teresa May menjelaskan, Britain tidak akan mengiktiraf undi Catalonia.
“United Kingdom tidak akan mengiktiraf deklarasi kemerdekaan yang dibuat oleh Parlimen Catalonia.
“Ia hanya berdasarkan undi yang sebelum ini sudah diisytiharkan sebagai haram oleh mahkamah Sepanyol.
“Kita mahu melihat undang-undang terus dipertahankan, Perlembagaan Sepanyol dihormati dan perpaduan rakyat negara itu terus dilindungi,” katanya.
Di Sepanyol, Perdana Menteri, Mariano Rajoy memulakan mesyuarat dengan menteri-menteri Kabinet bagi membincangkan bagaimana kerajaan akan mengawal situasi semasa.
Beliau memberitahu para senator bahawa undang-undang, demokrasi dan kestabilan di Catalonia perlu dikembalikan.
Dalam mesyuarat itu, Artikel 155 Perlembagaan Sepanyol akan digunapakai, bermakna kerajaan Catalonia akan dibatalkan dan digantikan dengan pencalonan Sepanyol.
Pendakwaraya tertinggi Sepanyol memberi amaran bahawa pihak bertanggungjawab terhadap undi Catalonia akan berdepan hukuman penjara 25 tahun. – Agensi