Home Akhbar Cina Kos tambahan RM20 bilion jika cuti bersalin swasta dipanjangkan

Kos tambahan RM20 bilion jika cuti bersalin swasta dipanjangkan

PETALING JAYA – Majikan Malaysia perlu menanggung kos tambahan sebanyak RM20 bilion jika cuti bersalin untuk pekerja wanita sektor swasta dipanjangkan daripada 60 hari kepada 90 hari.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, dengan anggaran 3.4 juta pekerja wanita dalam sektor swasta dan 250,000 orang bersalin setiap tahun, maka kos pemanjangan cuti bersalin adalah sangat besar.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, kos langsung cuti bersalin sahaja mencecah RM1 bilion manakala usaha mencari pengganti untuk wanita yang sedang bercuti pula melibatkan tambahan RM1 bilion.

Shamsuddin berkata, cadangan Bajet 2018 supaya sektor swasta memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari hanya boleh dilaksanakan dengan pindaan undang-undang.

Pelaksanaan tambahan cuti bersalin, kata Shamsuddin, juga perlu mempertimbangkan syarat permohonan cuti tersebut.

Beliau berkata, walaupun cuti bersalin penjawat awam dipanjangkan daripada 300 kepada 360 hari, tetapi maksimum 90 hari setahun telah ditetapkan dan penjawat berkenaan tidak boleh memohon cuti bersalin 90 hari semasa kelahiran anak kelima.

Menurutnya lagi, berbanding penjawat awam, pekerja wanita di sektor swasta sebenarnya boleh memohon cuti bersalin yang mencecah 420 hari.

Jelasnya, pekerja sektor swasta boleh memohon cuti bersalin sehingga 300 hari untuk persalinan sehingga kali kelima, tetapi mereka boleh memohon cuti untuk persalinan keenam dan ketujuh jika dua cahaya mata mereka meninggal dunia.

“Ramai berpersepsi bahawa sektor swasta menawarkan cuti bersalin yang kurang berbanding sektor awam. Ia sebenarnya adalah bergantung kepada keadaan.” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.