Home Nasional Isu Rohingya: Suara Malaysia ubah pendirian Amerika

Isu Rohingya: Suara Malaysia ubah pendirian Amerika

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 30 OKTOBER 2017
KUALA LUMPUR – Sejak Malaysia menyuarakan bantahan pembersihan etnik Rohingnya di Rakhine, Myanmar kepada Amerika Syarikat pada September lalu, kuasa besar itu kini mula membuka mata dan senada dengan pendirian negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejak pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Rumah Putih, Washington itu, kini kuasa besar mula mengumumkan pendirian menyebelahi penindasan kemanusiaan.
“Sejak isu ini (Rohingya) diperjelaskan oleh Malaysia dalam pertemuan tersebut (Donald Trump), Amerika telah mengumumkan bantuan kemanusiaan sebanyak AS$32 juta dan terbaru mereka telah memutuskan hubungan bantuan kententeraan kepada tentera Myanmar.
“Ini kejayaan (Malaysia), ini adalah bertitik-tolak daripada usaha yang telah dilakukan oleh Malaysia dan juga pihak-pihak yang lain,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tiong King Sing dalam sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Najib ketika menjawab soalan lisan Dewan Rakyat memberitahu dalam pertemuan itu, selain daripada kerjasama dua hala Malaysia dan Amerika, beberapa isu antarabangsa turut dibincangkan dengan Presiden Trump.
Antaranya adlah situasi di Semenanjung Korea, penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar dan isu-isu berkenaan Laut China Selatan.
Najib juga berkata, tanpa hubungan baik dengan negara-negara dan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, suara Malaysia bukan sahaja tidak didengari malah sukar untuk bersaing dalam perdagangan antarabangsa.
“Saya menjangkakan dengan langkah-langkah ini bahawa dalam masa jangka sederhana dan panjang kita akan melihat kepada peningkatan hubungan ekonomi menambahan pelaburan dan sebagainya.
“Inilah antara kejayaan-kejayaan yang kita akan kecapi apabila kita ada hubungan yang baik dengan negara-negara dan kuasa-kuasa besar.
“Tidak terkecualinya maknanya bukan hanya Amerika Syarikat, tetapi semua kuasa-kuasa besar, kita memang ada hubungan yang baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.