KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 telah melunaskan pembayaran lebih 70 peratus daripada nilai kontrak syarikat yang dilantik menerusi proses tender Kementerian Belia dan Sukan bagi penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur pada 28 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, MASOC menetapkan sasaran melunaskan semua pembayaran kepada pihak yang berkenaan selewat-lewatnya sehingga hujung November ini.
“Pihak MASOC berasa dukacita berhubung dakwaan beberapa artis dan pihak tertentu yang masih belum menerima sebarang pembayaran atas khidmat mereka pada temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 baru-baru ini.
“Pada mesyuarat MASOC bersama Menteri Belia dan Sukan pada 23 Okt , YB Khairy Jamaluddin telah memberikan arahan agar MASOC mempercepatkan segala proses pembayaran, mengambil kira peraturan kewangan yang berkuat kuasa terhadap semua syarikat yang telah dilantik memberikan perkhidmatan mereka pada Kuala Lumpur 2017.
“MASOC kini bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mempercepatkan proses pembayaran berkenaan dengan sasaran kita dapat melunaskan semua bayaran itu sebelum akhir November ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- BERNAMA