KUALA LUMPUR – Tiada satu negara pun yang melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) membatalkan sistem cukai berkenaan, sekali gus membuktikan pelaksanaannya adalah relevan untuk pembangunan ekonomi negara.
Anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, sebaliknya berkata tumpuan harus diberikan kepada soal bagaimana ia dikembalikan kepada rakyat dan mengekalkan kadarnya pada yang sama dalam tempoh tertentu berbanding menghapuskannya.
“Kalau pihak pembangkang nak mempertikaikan soal GST, soal pulangan, soal angka-angka, malah dalam Bajet Alternatif mereka pun, mereka tolak GST, tetapi bagaimana pula dengan 160 buah lagi negara yang kita anggap politiknya lebih matang, tidak pula nak dibatalkan (GST).
“Malah, pihak pembangkangnya pun tidak menjanjikan GST itu dibatalkan, sebaliknya yang menjadi perbahasan bagaimana ia harus diagihkan dan kadarnya dikekalkan,” katanya ketika menjadi tetamu program khas Bicara Bajet 2018 yang disiarkan di TV1, malam ini.
Program dihoskan Datuk Dahlan Maamor itu, turut menjemput anggota Parlimen Bandar Tun Razak (Bebas) yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan anggota Parlimen Kelana Jaya dari PKR, Wong Chen bagi membincangkan Bajet 2018 dan Bajet Alternatif oleh Pakatan Harapan yang dibentangkan baru-baru ini.- BERNAMA
Comments are closed.