NEw York – Sekurang-kurangnya lapan terbunuh manakala 11 lagi cedera selepas seorang lelaki memandu trak sewa ke laluan berbasikal di Manhattan dan melanggar orang awam, petang Selasa.
Pemandu berkenaan memasuki lorong penunggang basikal sebelum melanggar beberapa pejalan kaki dan penunggang basikal kemudian merempuh bas sekolah, mencederakan dua orang dewasa dan kanak-kanak.
Suspek kemudian keluar dari kenderaan memegang senapang ‘paintball’ dan ‘pellet gun’ sebelum polis menembaknya.
Datuk Bandar New York, menyifatkan serangan tersebut adalah satu tindakan yang ‘pengecut’.
“Ini adalah satu tindakan keganasan namun pelakunya ‘pengecut’ kerana menyerang orang awam yang tidak bersalah,” katanya ketika sidang media semalam.
Pegawai penguatkuasa kemudian mengenal pasti pelaku tersebut adalah Sayfullo Habibullaevic Saipov, 29 tahun, seorang warga Uzbekistan yang berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2010.
New York Times dan NBC melaporkan bahawa nota tulisan tangan dalam bahasa Arab ditemui berhampiran trak tersebut mengisytiharkan kesetian pada kumpulan militan Daesh bagaimanapun, kumpulan tersebut belum mengaku bertanggungjawab untuk serangan itu.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump turut memberikan komen beliau mengenai serangan tersebut menerusi laman Twitter miliknya.
“Kelihatan di NYC serangan dilakukan oleh orang yang sangat mental fikirannya, penguatkuasa undang-undang akan mengambil langkah berhati-hati mengenai insiden ini.
“Kita tidak boleh membenarkan kumpulan Daesh memasuki negara ini setelah mengalahkan mereka di Timur Tengah, tidak di AS!” tulisnya. – MalaysiaGazette