Home Politik GAUM gesa PDRM siasat Ambiga

GAUM gesa PDRM siasat Ambiga

Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar (tengah) menunjukkan laporan polis ke atas S. Ambiga kerana disyaki telah bersekongkol dengan Claire Rewcastle Brown Pemilik Sarawak Report memfitnah Parti Umno kononnya telah membiayai Pas sehingga 90 juta ringgit bagi menyokong UMNO pada Pru ke 14 di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2017.
KUALA LUMPUR – Polis digesa menyiasat bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga yang didakwa memberi maklumat kepada editor Sarawak Report, Claire Brown berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima wang dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, siasatan dalaman pihaknya mendapati dakwaan Ambiga itu adalah fintah semata-mata dan bekas pengerusi Bersih 2.0 itu perlu disiasat segara.

“Kita bertanyakan kepada rakan-rakan dan pimpian tertinggi Pas sama ada betul atau tidak, mereka kata tuduhan yang dibuat oleh Brown sebenarnya memang tiada asas.

“Saya cukup yakin ini adalah satu fitnah melampau jelik dan agak keterlaluan. Jadi kami tampil hari ini meminta pihak polis supaya dapat menyiasat kesahihan tuduhan Brown.

“Saya cukup yakin Ambiga ini telah memfitnah termasuk menjadi salah seorang daripada individu yang memfitnah UMNO,” katanya bercakap kepada pemberita di luar Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.

Terdahulu, Zulkarnain bersama ahli NGOnya membuat laporan polis agar satu kertas siasatan dibuka terhadap Ambiga berhubung tindakan Brown yang menamakannya dalam dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober lepas.

Brown menamakan Ambiga sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dokumen mahkamah itu telah difailkan berhubung saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Brown pada April lalu.

Dalam saman tersebut, Abdul Hadi mendakwa beliau telah difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk ‘Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connection’ bertarikh 6 Ogos 2016.

Zulkarnain menegaskan, walaupun sejak kebelakangan ini pemimpin UMNO dan Pas mempunyai kerjasama baik sama ada isu dalam dan luar negara, namun ia tidak bermakna parti Islam itu telah menerima sogokan.

“Sekarang ini ada rakyat percaya kononnya UMNO telah membiayai Pas, kita lihat seolah-olah Pas dan UMNO macam berbaik-baik

“Sebenarnya ia bukan satu petanda bahawa hubungan baik ini adanya sogokan wang. Saya cukup sedih sebagai ahli, jentera kecil UMNO,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan Brown dan Ambiga itu jelas tidak berasas kerana sejak Pas memasuki gelanggan politik tanahair, mereka mendapat sumber dan pembiayaan politik hasil daripada sumbangan ahli-ahlinya sendiri.

“Kita tahu Pas ini mempunyai ahli-ahli begitu fanatik dan biasanya mereka kutip daripada derma, ia bukan sikit, ahli Pas telah dididik sebegitu, cara mereka berjihad dengan menginfaqkan harta mereka dan ini perjuangan Pas.

“Cara Pas beroperasi sama ada mengadakan perhimpunan berskala besar ataupun kecil, kita tahu keupayaan Pas mencari dana tiada masalah,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.