Home Politik Pas gesa Ambiga jawab dakwaan Claire

Pas gesa Ambiga jawab dakwaan Claire

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Pas menggesa Datuk S. Ambiga memberi maklum balas berhubung tindakan editor Sarawak Report, Claire Brown yang menamakannya sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak menolak untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya Ambiga masih gagal memberi gambaran jelas terhadap kenyataan dengar cakap yang didakwa Brown itu.

“Pas menggesa Datuk S. Ambiga memberikan respon terhadap dakwaan Editor Sarawak Report tersebut bagi memberikan gambaran yang sebenar terhadap kenyataan dengar cakap (hear say) tersebut.

“Peguam Pas sedang mengkaji perkara ini dan kemudian akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Brown menamakan Ambiga sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dokumen mahkamah itu telah difailkan berhubung saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Brown pada April lalu.

Dalam saman tersebut, Abdul Hadi mendakwa beliau telah difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connection bertarikh 6 Ogos 2016.

Takiyuddin juga berkata, Pas memandang berat penularan kandungan dokumen pembelaan Brown yang difailkan dalam prosiding Saman Fitnah presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London.

“Dokumen itu mendedahkan Brown menamakan Datuk S. Ambiga sebagai sumber yang memberitahu kononnya pemimpin tertinggi Pas menerima wang sebanyak RM90 juta daripada Perdana Menteri.

“Bagaimanapun Presiden Pas menafikan sekeras-keras semua dakwaan-dakwaan tersebut dan telah pun mengarahkan peguamnya mengambil tindakan yang sewajarnya di mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette.