Home Politik Perjuangan PPIM tidak dipengaruhi politik

Perjuangan PPIM tidak dipengaruhi politik

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan kononnya organisasi itu dipengaruhi politik.

Malah persatuan itu bertegas dakwaan tersebut bersifat provokasi pihak tertentu untuk menjejaskan imej dan perjuangannya.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya terpanggil untuk menjelaskan kenyataan berbaur fitnah yang sedang tular di media sosial sejak akhir-akhir ini.

“Kita kini mencecah 20 tahun penubuhan dan sepanjang tempoh itu objektif dan misi kita hanya memperjuangkan hak pengguna. PPIM tidak pernah lari dari perjuangan sebenarnya atau dipengaruhi mana-mana unsur politik.

“Kami terkejut wujudnya kenyataan yang bukan dikeluarkan oleh PPIM serta tajuk video berunsur provokasi pihak tertentu yang menimbulkan tuduhan PPIM dipengaruhi parti politik.

“Apa yang pasti kami ingin jelaskan bahawa PPIM tidak sesekali akan berpaling tadah atau dibiarkan dipengaruhi politik, perjuangan kita hanyalah untuk menangani penganiayaan dan kezaliman ke atas pengguna,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPIM hari ini.

Ditanya sama ada tindakan polis akan menyusul ke atas penyebar kenyataan provokasi itu, Nadzim berkata, PPIM menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Kita tak akan buat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyiasat penyebar video itu.

“Tiada gunanya berbuat demikian, dunia teknologi maklumat semasa begitu pantas dan membolehkan manusia agresif membuat pelbagai spekulasi.

“Dia (penyebar provokasi) akan berdiam sendiri akhirnya,” katanya.

Sementara itu, Nadzim mengajak orang ramai menyertai Forum Pengguna ke-7 anjuran persatuan itu pada 4 November ini.

“Kita akan mengadakan forum terbuka secara percuma di Menara Felda, Platinium Park, persiaran KLCC bermula pukul 8.30 pagi.

“Dua panel khas dijemput untuk menjawab segala persoalan berkaitan kepenggunaan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk, Seri Azalina Othman dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar,’ tambah beliau.

Nadzim berkata, forum itu dihadkan kepada 2,000 peserta dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka merasmikannya. – MalaysiaGazette

Yusuf kena pilih NGO atau politik – Armand