Home Nasional Lemas: Pelajar ditemui selepas bapa laung azan, baca Yasin

Lemas: Pelajar ditemui selepas bapa laung azan, baca Yasin

KUALA LUMPUR – Sejurus selepas laungan azan dan bacaan Yasin seorang bapa di lokasi pencarian, mayat dua pelajar tingkatan satu yang dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika menyeberang longkang pada Isnin lepas, ditemui di kawasan lombong Kampung Muhibah di sini.

Pencarian lebih 40 jam itu berakhir apabila mayat kedua-dua mangsa, Muhammad Shafiq Akmal Amran dan Rafiuddin Fakhrullah Ridzuan, masing-masing berusia 13 tahun, ditemui pada 7.40 dan 8.03 pagi ini, dengan jarak 40 meter antara satu sama lain.

Ketika ditemui pemberita, Ridzuan Zainal Abidin, 46, berkata beliau melaungkan azan dan membaca surah Yasin di lokasi anaknya hilang dengan niat supaya mayat Rafiuddin Fakhrullah, segera ditemui.

“Saya turun ke lokasi kira-kira 7.30 pagi untuk baca Yasin serta laung azan dengan doa dia (Rafiuddin) ditemui segera.

“Alhamdulillah, selepas beberapa minit, saya diberitahu kedua-dua mangsa telah ditemui oleh anggota bomba,” katanya ketika menunggu untuk menuntut mayat anaknya di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini.- BERNAMA