Home Utama Rafizi akui Shahrir jauh lebih baik berbanding Isa

Rafizi akui Shahrir jauh lebih baik berbanding Isa

rafizi
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berpendapat pengurusan Felda perlu terdiri daripada pegawai kerajaan atau pakar dalam perladangan untuk memacu syarikat bumiputera itu.

Katanya, orang atau individu yang mengurus tadbir Felda haruslah seorang yang arif dan mengetahui tatakelola perladangan untuk pertumbuhan positif.

“Kalau boleh serahkan Felda kepada orang yang arif dan mahir dalam perladangan tetapi tidak boleh kepada orang politik yang mahukan populariti dan sokongan rakyat.

“Kesilapan mana-mana ahli politik seperti kami boleh memberi kesan, kerana tahap kepercayaan orang ramai terhadap ahli politik sangat rendah,” katanya dalam program langsung Bicara Bajet 2018 anjuran TV1 Radio Televisyen Malaysia malam ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR menyatakan kebimbangan mengenai tahap hutang yang ditanggung Felda.

“Saya bimbang mengenai tahap hutang Felda ada, struktur Felda, kerana unit saham Felda hanya bergantung kepada aliran pendapatan sahaja selain komitmen kewangan syarikat itu kepada peneroka. Itu tidak dapat diperbaharui model sekarang.

Ditanya mengenai perubahan antara pengurusan lama dan yang diterajui oleh Pengerusi baharu, Tan Sri Shahrir Samad, Rafizi menyatakan Shahrir Samad jauh lebih baik berbanding pengurusan lama.

Sebelum Shahrir, Felda diteraju oleh Tan Sri Isa Samad.

“Cuma kadang-kadang tak pasti, sama ada kita dapat mengubah dan memperbaiki masalah felda berdasarkan landasan yang ada sekarang, atau melakukan perkara sama, walaupun orang kini jauh lebih baik, tetapi tahap kerosakan dirasakan lebih mendalam.

“Semasa Felda bermula 30 tahun lalu, penerokanya adalah terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. Selepas tempoh itu kita perlu cari jalan menukar minda dan atur cara kehidupan mereka kepada seorang yang juara.

“Modal yang ada sekarang ialah modal awal dimana peneroka berkeadaan susah, melalui konsep sama walaupun sekarang peneroka sudah kaya, tapi oleh kerana segala konsep pentadbiran soal operasi ladang itu masih berpaksikan sistem lama, kita tak dapat lahirkan 100 ribu keluarga tokey tanah.

“Kita perlu ingat bahawa ia juga membantu sosioekonomi keluarga Melayu tetapi soalannya adalah kaedah yang digunapakai.

“Adalah menjadi tabiat masyarakat dan media, kalau sesuatu isu itu tidak sensasi maka tak diberi perhatian, maka saya terpaksa memilih yang menarik supaya jadi perhatian,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, Shahrir ada memberitahunya mahu kesemua pengurusan kanan Felda meletakkan jawatan semasa dilantik menjadi pengerusi.

Razali Ibrahim

“Shahrir kata, aku mahu semua berhenti, dia tak mahu pecat tapi kemudian ada antara mereka dilantik semula (mengikut kepakaran),” katanya.

Razali juga tidak bersetuju dengan dakwaan Rafizi mengenai Bajet 2018 dipanggil gula-gula atau rasuah sedangkan konsep yang sama ada terdapat dalam bajet alternatif Pakatan Harapan.- MalaysiaGazette