Home Nasional Cadang perkenal skim KWSP, kawal jumlah kakitangan awam

Cadang perkenal skim KWSP, kawal jumlah kakitangan awam

Jo
Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menilai semula untuk memperkenalkan skim potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada kakitangan awam baharu pada masa depan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pertimbangan itu bagi mengawal perbelanjaan kerajaan dalam pemberian pencen yang cukup besar selama ini.

Menurutnya, kerajaan memperuntukan sejumlah RM24.5 bilion untuk membayar pencen pesara awam dan jumlah itu cukup besar.

“Dalam sistem lama, kerajaan tidak potong KWSP. Dalam usia 50 hingga 60 tahun mereka bersara, kita perlu beri mereka pencen. Kalau kita tidak beri pencen, mereka tidak ada KWSP.

“Proses ini adalah polisi dilakukan lama. Pada masa ini, polisi ini kita perlu lihat semula pada kakitangan yang baru.

“Ini adalah polisi yang perlu kita lihat pada masa depan,” katanya dalam program Soal Jawab “Analisis Bajet 2018” malam tadi.

Jelas Johari peruntukan besar pembayaran kepada pesara perlu dikawal kerana ia tidak mampan untuk negara.

Mengulas perkara sama, beliau berkata, kerajaan juga perlu mengawal pengambilan kakitangan awam yang kini berjumlah 1.6 juta.

Menurutnya, kerajaan memperuntukan RM79 bilion daripada perbelanjaaan operasi sebanyak RM234.5 untuk pembayaran emolumen (gaji).

Jumlah itu, katanya, adalah besar.

“Namun kita tidak boleh suruh mereka berhenti kerana ia bukan cara dalam menguruskan sistem. Cuma kita perlu mengawal jumlah tersebut,” tambahnya.

Daripada 1.6 juta penjawat awam, seramai 570,000 adalah guru dan pensyarah, 350,000 lagi adalah kakitangan keselamatan seperti polis dan tentera manakala 250,000 lagi kakitangan kesihatan.

Kakitangan pentadbiran yang mengurus 31 juta penduduk Malaysia hanya kira-kira 400,000 sahaja. – MalaysiaGazette

Comments are closed.