KUALA LUMPUR 2 Nov. – Perbuatan seorang guru yang juga merupakan Ketua Cawangan MIC cuba mendesak seorang gadis bawah umur melakukan hubungan seks baru-baru ini bukan sahaja mengejutkan pelbagai pihak, malah mengundang desakan para pemimpin parti itu agar tindakan tegas segera diambil.
Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari mendedahkan, suspek yang dikenali sebagai ‘Cikgu Nataraja’ itu sememangnya mempunyai rekod gangguan seksual namun tiada bukti kukuh untuk menyabitkan dirinya.
Menurutnya, lelaki itu sengaja menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua cawangan MIC untuk menakutkan golongan tidak berdaya bagi melampiaskan nafsu seksnya.
“Saya diberitahu tiga tahun dahulu, lelaki ini pernah ditangkap kerana insiden yang sama namun kerana tiada bukti kukuh dia terlepas. Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
“Apa yang lebih menjijikan dan jelik adalah dia menggunakan kuasa dan kerjayanya sebagai seorang pendidik untuk melakukan perbuatan seumpama ini, terutamanya terhadap mangsa tidak berdaya dan miskin,” katanya kepada MalaysiaGazette.
“Hanya kerana dia pemimpin MIC dan telah memohon maaf tidak bermakna kita akan lepaskan dia senang-senang. Parti tidak akan sesekali menyebelahi perbuatan terkutuk seperti ini. Jangan fikir dirinya kebal untuk melakukan apa sahaja.
“Saya menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya dan bukan hanya melabelkan dirinya ‘sakit mental’. Jangan biarkan dia terlepas begitu sahaja. Sesiapa yang telah mendengar perbualan telefon yang kini menjadi viral untuk membuat laporan polis seluruh negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Negara, Usha Nandhini Jayaram melahirkan kebimbangan beliau berhubung nasib gadis bawah umur yang diperlakukan sedemikian oleh seseorang yang mempunyai kuasa.
“Bayangkan jika perbualan telefon ini tidak direkod? Daripada panggilan telefon itu kita sudah boleh membuat kesimpulan, pemanggil sudah biasa melakukan perbuatan ini. Malah dia sendiri mengaku dirinya sudah meniduri beberapa pelajar bawah umur antara 17 dan 18 tahun sebelum ini dan ini bukan sesuatu yang baru.
“Seandainya mangsa takut dan tunduk, apa akan jadi kepada masa depannya? Kita juga tidak tahu berapa lama suspek melakukan perbuatan terkutuk ini. Saya pasti jika pihak polis menyiasat dengan lebih dalam, kita akan disajikan dengan maklumat yang mengejutkan,” katanya.
Usha Nandhini yang juga bekas Ketua Puteri MIC dan kini menerajui Persatuan Wanita Berjaya Sejati Malaysia aktif memperjuangkan nasib wanita akan turun padang untuk melakukan program kesedaran berkaitan gangguan seksual.
“Mungkin kali ini saya akan turun ke kawasan luar bandar dengan lebih kerap, kita perlu beri mereka pendedahan apakah yang mereka boleh lakukan seandainya berdepan dengan kes seperti ini. Mereka perlu berani dan juga tahu hak mereka.
“Saya malu lelaki ini pernah menganggotai MIC namun saya pasti kepimpinan tertinggi malah masyarakat tidak akan sesekali melepaskan dia begitu sahaja,” tegasnya.
Beberapa hari lepas, masyarakat dikejutkan dengan rakaman perbualan antara Natarajan dengan seorang wanita dipercayai ibu kepada seorang gadis bawah umur yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Natarajan dalam perbualan itu didakwa mendesak wanita tersebut mendapatkan persetujuan daripada anak perempuanya supaya meniduri lelaki itu, dan sebagai balasan dia akan lulus dalam peperiksaan dan mendapat peluang pekerjaan serta merta.
Natarajan juga didakwa cuba menyogok wanita itu dengan minuman keras dan wang supaya dapat memujuk anaknya untuk melakukan hubungan seks dengannya. – MalaysiaGazette
Comments are closed.