Home Ekonomi Tengku Zafrul, Arul Kanda ganti Azman Mokhtar?

Tengku Zafrul, Arul Kanda ganti Azman Mokhtar?

SINGAPURA – Beberapa calon luar dikatakan melobi untuk menggantikan kedudukan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar.

Di bawah pelan peralihan kuasa setahun lalu, Azman sepatutnya melantik dalam kalangan pengurusan kanannya sebelum akhir tahun ini.

Calon itu sepatutnya memangku tugas Azman sebelum lembaga pengarah Khazanah meluluskan pelantikannya.

Azman yang menyertai Khazanah Nasional sejak tahun 2004 bakal meninggalkan sayap pelaburan negara itu pada akhir Mei 2019.

Sumber-sumber Khazanah berkata, Azman mahu meninggalkan legasinya kepada orang muda.

Dua individu yang dilihat sebagai calon pengganti Azman ialah Datuk Hisham Hamdan dan Ahmad Zulkarnain Onn.

Namun, mereka kini didakwa sedang berhadapan dengan Datuk Tengku Zafrul Aziz yang juga Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank dan Arul Kanda Kandasamy, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Straits Times melaporkan ahli-ahli politik dan perniagaan yang rapat dengan Tengku Zafrul dan Arul sedang melobi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Khazanah yang akan memutuskan pengganti Azman.

Khazanah adalah sayap pelaburan penting negara dengan aset bernilai RM145 bilion sehingga akhir tahun lalu. – MalaysiaGazette