KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui, beliau sedar kehadirannya di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak disenangi banyak pihak.
Ia berikutan segala keputusan bagi melantik penaja-penaja dibuat oleh beliau tidak seperti sebelum ini, kata Tunku Mahkota Johor.
“Saya tiada niat nak menyekat rezeki orang cuma saya hanya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada saya untuk menjaga duit persatuan.
“Kalau dahulu, pengacara televisyen yang isterinya kerja dalam FAM pun boleh pergi bercuti menggunakan bajet FAM. Sekarang ini minta maaflah tiada lagi sikap ‘cronism’,” tulisnya di laman Facebook rasmi FAM hari ini.
Tunku Ismail mendakwa, ada juga individu di dalam FAM yang menunggu pasukan kebangsaan kalah dan menjadikan itu sebagai alasan untuk menggesa sesetengah media dan portal media sosial melapor dengan tujuan menghukum Presiden FAM.
Dakwanya, ia bagi memberi tekanan kepadanya sebagai presiden untuk meletak jawatan agar mereka dapat melakukan aktiviti-aktiviti tertentu di dalam FAM.
Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, beliau akan mendedahkan nama-nama individu yang didakwa terlibat menjaga sebuah group sembang terdiri dalam kalangan pengamal media dan personaliti sukan termasuk beberapa Exco FAM yang kerjanya sering mengumpat setiap hari.
“Orang seperti ini hanya mengutamakan kepentingan peribadi. Kalau mereka pandai sangat, saya ingin menjemput orang-orang ini semua untuk menguruskan bola sepak tanah air.
“Sesetengah individu-individu ini pernah berjalan bersebelahan saya. Dia fikir apabila dia bernafas udara yang sama dengan saya, dia adalah segala-galanya. Sedih ia sebenarnya tidak sama sekali,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette