Home Sukan Evra diarah keluar padang kerana tendang penyokong

Evra diarah keluar padang kerana tendang penyokong

GUIMARAES –  Pemain pertahanan Marseille, Patrice Evra diarah keluar padang selepas menendang penyokong sebelum sepak mula perlawanan menentang Vitoria Guimaraes dalam saingan Liga Europa, awal pagi tadi.

Kejadian tersebut dilihat oleh wartawan AFP yang melaporkan insiden tersebut selepas Evra bertindak menyepak salah seorang daripada kumpulan penyokong Marseille.

Semuanya bermula dengan perang mulut antara Evra dengan kumpulan penyokong tersebut dan akibat terlalu marah bekas pemain Manchester United itu bertindak sedemikian.

Tindakan Evra itu menyebabkan pegawai keselamatan terpaksa meleraikan situasi tegang tersebut dan pemain berkenaan yang berada dalam senarai simpanan diarahkan oleh pengadil supaya kembali ke bilik persalinan.-MalaysiaGazette