Home Politik Cukai baharu, naik GST untuk tampung Bajet 2018 – Anwar

Cukai baharu, naik GST untuk tampung Bajet 2018 – Anwar

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengandaikan jika Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-14 mereka akan memperkenal cukai baharu bagi menampung kos yang dijanjikan dalam Bajet 2018.

Kerajaan BN, katanya, mungkin akan meningkatkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Umum Pakatan Harapan itu berkata, kerajaan gagal mengimbangkan perbelanjaan dengan pendapatan yang dalam Bajet 2018.

“Rakyat yang akan menderita dan menanggung beban ini untuk membolehkan BN melaksana segala janji yang dibuat di dalam bajet ini.

“Bagaimanakah kerajaan ini akan menepati janji-janji bajet ini, walhal ia belum menunjukkan bagaimana pendapatan kerajaan akan ditambah? Ini langsung tidak ditunjukkan dalam mana-mana bahagian bajet ini,” soal bekas menteri kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, Najib membentangkan Bajet 2018 bertemakan ‘Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50.

Bajet 2018 kali ini memperuntukkan sebanyak RM280.25 bilion, meningkat daripada RM260.8 bilion pada 2017, dengan RM234.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Anwar juga mendakwa Najib tidak berselindung daripada mengatakan bajet kali ini ibu segala bajet itu dengan menabur pelbagai janji semata-mata mahu memperdaya rakyat untuk menyokong BN.

“Tetapi ada kelompangan cukup besar di dalam bajet pra-pilihanraya ini, ia gagal menunjukkan bagaimana kerajaan akan mengimbangkan perbelanjaan dengan pendapatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.