Gandingan mantap komposer, Natasyah dan penulis lirik, Iman Imran ternyata membawa tuah sehingga melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi.
Lebih manis, Persembahan vokal mantap Dayang sewaktu menyampaikan lagu tema drama popular, Tujuh Hari Mencintaimu pula melayakkan memenangi kategori Vokal Terbaik buat kali ketiga berturut-turut.
Dayang membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM12,000 dan trofi.
AJL31 dengan tema Cerita Dalam Lagu itu menyaksikan tempat kedua dimenangi oleh Hafiz dan Misha Omar menerusi lagu Terimaku Seadanya.
Lagu dan lirik ciptaan Ajai itu berjaya membawa pulang trofi berserta hadiah wang tunai RM35,000.
Sementara itu, lagu Sudah Ku Tahu nyanyian Project Band meraih tempat ketiga.
Selain trofi, lagu dan lirik ciptaan Razif itu meraih hadiah wang tunai RM20,000.
PersemĀbahan Terbaik yang menawarkan hadiah wang tunai RM12,000 selain trofi pula menjadi milik kumpulan Khalifah.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Sementara itu, kesemua 12 buah lagu yang bertanding dinilai oleh barisan juri profesional terdiri daripada Edrie Hashim, Pak Ngah, Siso, Tam Spider, Habsah Hassan, Datuk Mokhzani Ismail, Azlan Abu Hassan, Edry Abdul Halim dan Azmeer selaku ketua juri.
Dalam pada itu, AJL31 turut membuat segmen penghargaaan kepada penulis lirik Allahyarham Loloq dan Allahyarham Juwie di atas sumbangan mereka dalam dunia penulisan lirik.
AJL31 dihoskan Fara Fauzana, Sarimah Ibrahim, Awal Ashaari dan Fizi Hot FM – MalaysiaGazette