Home Politik Kerajaan Selangor pun bentang bajet defisit- Budiman

Kerajaan Selangor pun bentang bajet defisit- Budiman

Budiman Mohd Zohdi

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor perlu berasa malu dengan Belanjawan 2018 negeri itu sebenarnya sebuah bajet defisit dan tidak senada dengan kritikan dilontarkan terhadap Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2018, Jumaat lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, tohmahan pembangkang kononnya bajet Kerajaan Persekutuan bersifat gula-gula politik pilihan raya juga kini terpalit ke muka mereka sendiri.

“Jelasnya tindakan mereka mengkritik bajet defisit Kerajaan Persekutuan terpalit ke muka mereka sendiri. Jelasnya tindakan ini adalah sesuatu yang hipokrit.

“Azmin Ali jelas terdesak mencipta imej populis, cuba lari dari bayangan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta cekap bermain dengan silat kata-kata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Belanjawan Selangor 2018 yang dibentangkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bangunan DUN Selangor, di sini hari ini memperuntukkan RM3.12 bilion di mana RM1.46 bilion merupakan Belanja Mengurus manakala RM1.66 bilion lagi untuk Belanja Pembangunan.

Pembentangan bajet itu menyaksikan penurunan sebanyak RM330 juta berbanding Belanjawan Selangor 2017 yang memperuntukkan RM3.45 bilion.

Beliau juga berkata, kritikan pembangkang turut ‘memakan diri’ apabila jumlah defisit yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri Pakatan Harapan itu jauh lebih tinggi berbanding Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Selangor juga membuat perkara sama, malah dari kadar peratusan, jumlah defisit yang perlu ditanggung adalah jauh lebih tinggi dari defisit tanggungan Kerajaan Persekutuan.

“Jumlah defisit ini jika diukur adalah 26 peratus daripada keseluruhan bajet negeri serta 38 peratus tambahan dari jumlah anggaran hasil.

“Jumlah defisit Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan hanyalah pada kadar 14 peratus dari keseluruhan peruntukan,” katanya.

Budiman juga mahu melihat sejauh mana kritikan sama akan dibangkitkan ADUN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail susulan pembentangan bajet defisit yang dibuat timbalannya dalam PKR itu.

Sementara itu Budiman turut mempersoalkan tindakan Mohamed Azmin yang mengulangi janji politiknya hampir dua tahun untuk membina 136 unit rumah berkembar setingkat berhampiran Felda Sungai Tengi Selatan.

“Perkara ini hanyalah sekadar ulangan janji yang dibuat Menteri Besar pada Januari 2016 ketika lawatan beliau ke Felda tersebut. Bila hampir Pilihan Raya Umum ke-14, barulah kerajaan negeri cuba memberi komitmen.

“Memandangkan isu tanah adalah di bawah kuasa negeri, Kerajaan Selangor telah sekian lama menafikan permohonan dari Felda untuk pembangunan perumahan generasi kedua ini,” katanya.

Katanya lagi, Belanjawan 2018 turut mengecewakan rakyat Selangor apabila manifesto Buku Jingga pada PRU13 lalu antara lain memberi pendidikan percuma masih gagal direalisasikan.

“Sangkaan bahawa Kerajaan Selangor akan menjadi negeri contoh dan pertama melaksanakan pendidikan percuma tidak langsung terbayang dalam bajet yang diumumkan Menteri Besar ini.

“Secara tidak langsung, ia membuktikan perkara ini adalah suatu imaginasi melampau yang sukar untuk dilaksanakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.