KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 8,392 orang setakat 8 pagi ini berbanding 10,402 orang 9 malam tadi.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir, sebanyak 49 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir terbabit daripada lima jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai.
Seramai 3,725 orang daripada 1,033 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan di Kota Bharu, 2,546 orang (696 keluarga) di 10 pusat pemindahan di Pasir Puteh dan 1,547 orang (555 keluarga) ditempatkan di 19 pusat pemindahan di Pasir Mas.
Seramai 522 orang (141 keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Bachok dan 52 orang (14 keluarga) ditempatkan di dua pusat pemindahan di Kuala Krai.
Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun kepada 9.97 meter berbanding 10.05 meterpada pukul 8 malam tadi, yang melepasi paras bahaya iaitu 9.00 meter. – MalaysiaGazette