Home Nasional Operasi cari tiga mangsa terjatuh dalam tangki minyak diteruskan

Operasi cari tiga mangsa terjatuh dalam tangki minyak diteruskan

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Jumaat tiga lelaki berumur antara 28 hingga 49 tahun sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas tangki minyak itu sebelum berlaku letupan yang mengakibatkan mereka terjatuh ke dalam tangki.

RAWANG – Operasi mengeluarkan minyak diesel bagi mencari tiga individu yang dipercayai terjatuh ke dalam tangki minyak di sebuah kilang simen di Jalan Kuang di Rawang di sini masih diteruskan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata operasi mengeluarkan minyak itu dijangka mengambil masa selama tiga jam lagi.

Anggaran ketinggian baki minyak yang tinggal adalah lebih kurang 1.5 meter dan kerja-kerja mengeluarkan minyak masih giat dijalankan.

Operasi ini telah dijalankan sejak semalam namun setakat ini mangsa belum ditemui, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, tiga lelaki berumur antara 28 hingga 49 tahun sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas tangki minyak itu sebelum berlaku letupan yang mengakibatkan mereka terjatuh ke dalam tangki.

Susulan itu pasukan penyelamat terpaksa mengeluarkan lebih 725,000 liter minyak diesel dari tangki setinggi 4.26 meter itu.

— BERNAMA