KUALA LUMPUR – Jenazah Ramli Abd Majid, pendaki warga Malaysia yang maut di Gunung Damavand, Iran selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14 di Puchong dekat sini pada kira-kira 2 petang hari ini.
Jenazah, yang dibawa dengan pesawat Mahan Air penerbangan W583 dari Tehran, Iran dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 10 pagi tadi, disembahyangkan di Masjid Asy Syakirin, Puchong Utama.
Sementara itu, anak Allahyarham, Muhammad Fauzi, 17, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari jenazah bapanya itu.
“Kami semua reda dengan ketentuan Allah SWT, Alhamdulilah kami syukur yang jenazah ayah akhirnya dijumpai. Ibu memang tidak putus-putus berdoa dan buat solat hajat supaya dipermudahkan urusan mencari bapa,” katanya ketika ditemui pemberita.
Ditanya adakah dia akan meneruskan hobi ayahnya, Muhammad Fauzi berkata dia mempunyai hobi lain namun pernah mengikut bapanya mendaki di beberapa gunung.
“Sekarang saya hanya ingin tumpu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Isnin ini,” katanya.
Kementerian Luar pada Ahad mengesahkan mayat yang ditemukan pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand pada Jumaat lepas adalah Ramli yang berusia 44 tahun ketika dilaporkan hilang pada 20 Nov 2016.
Ketua jurutera sistem di Ibu Pejabat Proton Holdings Bhd, Shah Alam, Selangor bersama seorang lagi pendaki Kelab Jelajah Alpine (KJA) Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dilaporkan hilang selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.
Pada 28 Nov 2016, jasad Syed Redzuan ditemukan di kawasan Yakhar Glacier dan jenazahnya dibawa pulang serta dikebumikan di Malaysia.- BERNAMA
Jenazah pendaki Malaysia dari Iran tiba di Klia