KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut agar diberikan satu kerusi senator dalam Dewan Negara bagi memudahkan persatuan itu membela pengguna.
Menurut Setiausaha Agung PPIM, Datuk Maamor Osman, dalam Resolusi Forum Pengguna ke 7, persatuan itu menggariskan tujuh cadangan kepada kerajaan.
“PPIM menggesa agar kerajaan mewujudkan satu kerusi Senator bagi menjadi wakil kepada suara pengguna di Parlimen bagi memudahkan kerajaan menilai sendiri kemampuan para pengguna di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas berlangsungnya Forum Pengguna ke- 7 dengan tema ‘Gerakan Kuasa Pengguna’ di Menara Felda hari ini.
Ia dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam resolusi itu, PPIM menyatakan pendirian bahawa persatuan itu adalah ‘sahabat’ kerajaan.
Ujarnya, biar pun PPIM selalu berbeza pendapat dengan kerajaan namun itu tidak bererti persatuan itu perlu tunduk kepada ancaman dalam memperjuangkan hak dan kepentingan pengguna.
“Pihak kerajaan digesa agar lebih terbuka dalam mendengar suara dan aduan rakyat, serta memahami segala isu yang berkait rapat dengan rakyat.
“Perlu melatih para pegawai supaya sentiasa berkhidmat dan sedia mendengar serta membantu rakyat bagi memudahkan urusan bukan menunjukkan kuasa hingga dilihat seolah menghukum,” katanya lagi.
Antara lain, PPIM turut menggesa agar kes aduan rakyat yang tertunggak yang menjejaskan kehidupan seharian rakyat segera dicari kaedah penyelesaian di jabatan-jabatan dan agensi berkaitan.
Terdahulu, PPIM disalurkan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi menggerakkan aktiviti membantu pengguna Islam yang tersepit dan dianiayai disebabkan pinjaman ahlong dan perjudian haram dalam talian.
Mengulas mengenai itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, peruntukan itu adalah satu pengiktirafan kepada persatuan itu untuk terus membela nasib rakyat yang ditindas ekoran aktiviti Ah Long dan perjudian haram.
“Itu satu pengiktirafan yang cukup tinggi kepada PPIM. Saya rasa apa yang disebut tadi antara PPIM dan PDRM merupakan satu sokongan yang memberi nafas baru kepada kita.
“Dengan adanya sokongan dan insuran kita harap kita boleh buat bukan setakat perjudian haram tapi benda-benda lain yang boleh kita buat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.