Home Nasional 2 warga emas maut akibat banjir

2 warga emas maut akibat banjir

Banjir melanda p. Pinang sehingga kini mengorbankan dua nyawa.

PULAU PINANG – Dua warga emas ditemui mati lemas di dua lokasi berasingan dalam kejadian banjir yang berlaku di negeri ini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mayat pertama iaitu seorang lelaki berusia 75 tahun ditemui mati lemas di rumahnya di Jalan Perak, Georgetown di sini, kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Tambah beliau, mayat kedua pula iaitu seorang wanita Cina berusia awal 80-an ditemui mati lemas di Pusat Penjagaan Orang-Orang Tua, Jalan P. Ramlee, di sini kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

“Identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti dan mayat mereka ketika ini dibawa ke Pusat Pemindahan Masjid Hashim Yahya sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.

Pusat Penjagaan Orang-Orang Tua, Jalan P. Ramlee di sini yang menempatkan kira-kira 20 penghuni sering terjejas dengan banjir setiap kali hujan lebat dengan air naik sehingga ke paras dada.

Dalam pada itu, situasi banjir di negeri ini setakat pukul 11 pagi ini tidak banyak berubah dengan hampir kebanyakan kawasan di bahagian pulau dan Seberang Jaya masih ditenggelami banjir.

Kira-kira 2,000 penduduk juga sudah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan di lima daerah sekitar negeri ini namun jumlah mangsa dijangka berkurangan menjelang petang ini.

Ketika ini, usaha juga sedang giat dijalankan pelbagai pihak termasuk pasukan Penyelamat dan Bomba negeri bagi membersihkan kesan kemusnahan akibat banjir khususnya pokok tumbang yang dilaporkan berlaku hampir di seluruh negeri ini. – MalaysiaGazette