KUALA LUMPUR – Kerajaan persekutuan melalui Angkatan Tentera Malaysia akan memberi bantuan segera kepada rakyat Pulau Pinang yang sedang berdepan dengan banjir kilat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sidang media hari ini berkata, meskipun negeri Pulau Pinang merupakan negeri pembangkang namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan pusat akan menghantar bantuan segera bagi menangani bencana itu.
Justeru, tambahnya, kerajaan negeri tidak perlu meminta pertolongan daripada kerajaan pusat, seperti yang disiarkan pagi hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta bantuan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar pasukan keselamatan ke negeri itu.
“Berkenaan dengan banjir ini, memang, tidak payah kerajaan negeri minta, biarpun di negeri yang dikuasai pembangkang, kita (kerajaan) akan bantu atas soal kemanusiaan dan tanggungjawab kita sebagai kerajaan pusat.
“Jadi, pasukan ATM akan membantu, mereka akan berlepas petang ini dan segalanya akan dikoordinasi oleh Majlis Keselamatan Negara. Kita akan membantu mangsa-mangsa banjir, keperluan mereka kita akan tentukan untuk kita memberi bantuan-bantuan yang mereka perlu.
“Majlis Keselamatan Negara juga sudah mengeluarkan arahan, dan mereka (Majlis Keselamatan Negara) akan selaraskan bentuk bantuan serta agensi yang akan ke sana (Pulau Pinang),” katanya selepas meninjau Hospital Medan ATM di Hospital Sultan Al Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. – MalaysiaGazette