SHAH ALAM – Johor Darul Ta’zim (JDT) menyasar beraksi pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC setelah menjulang Piala Malaysia malam tadi.
Sasaran Ketua Jurulatih JDT, Ulisses Manuel Nogueira Morais bersandarkan kepada skuad sedia ada.
“Liga Juara-juara Asia sememangnya sasaran kami dan skuad kami yang ada sekarang memang yang terbaik untuk mengharungi kempen itu musim hadapan,” katanya selepas perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kedah malam semalam.
Menurutnya, kesemua 27 pemain yang disenaraikan malam tadi berkemahiran dan mampu beraksi dengan baik.
“Saya perlulah memberi peluang untuk semua beraksi dan itulah yang dilakukan malam tadi dan mereka tidak menghampakan saya,” ujarnya.
Mengulas mengenai final itu, permaianan adalah seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai banyak peluang dalam perlawanan itu.
“Bagaimanapun pemain JDT mempamerkan corak permainan yang mantap dan berjaya menyekat peluang lawan dan menerusi gol kedua kami berhak bergelar juara,” ujarnya. – MalaysiaGazette