Home Politik Kelantan umum bantuan banjir, hantar sukarelawan

Kelantan umum bantuan banjir, hantar sukarelawan

Ahmad Yakub
KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengumumkan peruntukan kecemasan sebanyak RM50,000 kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang kini berdepan dengan bencana banjir besar sejak awal pagi ini.
Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya komited untuk membantu kerajaan DAP Pulau Pinang itu dengan menghantar sukarelawan bagi membantu mangsa banjir terlibat.
“Pagi tadi saya menerima berita berkenaan keadaan banjir di Pulau Pinang yang semakin membimbangkan. Malah didapati ada pusat-pusat pemindahan banjir yang terputus bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjawab panggilannya jam 3.30 pagi tadi.
Panggilan itu dibuat Guan Eng bagi meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan banjir semakin buruk yang melanda negeri buat kali kedua, tahun ini.
Ucapan terima kasih pemimpin utama DAP itu dirakamkan dalam video berdurasi satu minit 19 saat yang kini tular di media sosial.
Menurut Guan Eng, ketika panggilan dibuat, paras air semakin naik antara tiga hingga 3.6 meter dan ia melepasti bumbung rumah di Pulau Pinang.
Ahmad juga menasihatkan semua pihak agar sama-sama menghulurkan bantuan kepada Kerajaan Pulau Pinang dalam menghadapi musibah itu meskipun mempunyai pendirian politik berbeza.
“Dalam situasi sebegini, saya menyeru semua pihak agar dapat membantu mangsa-mangsa banjir di sana dengan mengenepikan sebarang sentimen politik.
“Marilah sama-sama kita mendoakan agar keadaan banjir semakin baik dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
“Bersabarlah diatas ujian Allah SWT yang menguji rakyat di sana melalui  musibah banjir. Hanya dengan kuasa dan ketentuan Allah jua kita bermohon,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.