KUALA LUMPUR – Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang melihat sesuatu kejayaan berdasarkan kuantiti.
Ketika menjawab mengenai sasaran kerajaan untuk melahirkan 60,000 akauntan profesional menjelang 2020, Rafidah berkata, pada era teknologi digital ini, apa yang lebih penting adalah kepakaran dan kualiti seseorang itu dan bukannya kuantiti.
Jelasnya, pada masa ini, sesebuah syarikat multinasional hanya memerlukan beberapa tenaga kerja manusia berkemahiran tinggi sahaja untuk menjalankan tugas.
“Jika kita tengok syarikat-syarikat besar dan antarabangsa, mereka hanya menggaji beberapa pekerja berkemahiran tinggi dan pakar sahaja, jadi apa perlunya kita membuat sasaran mahu berpuluh-puluh ribu akauntan sedangkan banyak kerja yang boleh diselesaikan melalui sistem komputer sahaja.
“Apa yang penting pada zaman ini adalah kepakaran seseorang individu tersebut untuk mengendalikan mesin dan sistem dan bukannya berapa ramai pekerja yang perlu ada di dalam sesebuah organisasi.
“Saya pelik apabila kita selalu membuat sasaran berapa ramai profesional yang kita mahu lahirkan, berapa ramai graduan yang kita mahu ambil tetapi kita menitik beratkan dari segi kualiti,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Asia Pasifik mengenai Isu Perakaunan Antarabangsa di sini hari ini.
Menyentuh mengenai kemajuan teknologi maklumat yang berkembang sangat pantas, Rafidah berkata, pendidikan ICT seharusnya bermula dari tahun pertama sistem persekolahan.
“Jangan sibuk tentang bahasa apa yang hendak digunakan, jangan sibuk mengenai bahasa kebangsaan kerana di dalam dunia teknologi perkara tersebut tidak penting.
“Apa yang penting adalah kita memberi pendidikan paling awal kerana teknologi berubah sangat pantas.
“Jika kita sering bertelagah tentang perkara remeh-temeh, kita akan ketingalan,” katanya.-MalaysiaGazette