KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah hari ini menggesa Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meletakkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dengan serta-merta.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainaol Abidin berkata, Menteri Besar Kedah itu perlu mempertimbangkan cadangan tersebut bagi menjaga nama baik UMNO yang sering dijadikan kambing hitam oleh pihak tertentu.
“Ia dibuat atas dasar menjaga nama baik parti yang sering dijadikan pihak-pihak berkepentingan tertentu yang terus menjadikan bola sepak sebagai medan mereka mencari simpati politik dan amarah politik.
“Pemuda UMNO Kedah juga ingin mencadangkan agar semua ahli politik UMNO di dalam KFA turut mengambil tindakan yang serupa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa tiket perlawanan akhir bola sepak liga Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Rabu lalu habis selepas sejam kerana Pemuda UMNO mengagihkan tiket kepada ahli demi menjaga air muka Ahmad Bashah.
Shaiful Hazizy juga berkata, pihaknya turut menyatakan rasa kesal apabila Ahmad Bashah ‘diboo’ oleh segelintir penyokong Kedah ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
“Kami menyifatkan tindakan segelintir penyokong Kedah sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan biadap.
“Kami berasa malu apabila seorang menteri besar yang mewakili Kerajaan Negeri Kedah dimalukan dan diboo dengan keadaan sedemikian rupa walaupun beliau telah banyak berkorban demi kemajuan dan kecemerlangan bola sepak negeri,” katanya hari ini.
Pemuda UMNO Kedah juga meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas kepada penyokong Johor Darul Takzim (JDT) yang tidak menghormati lagu Kedah ketika ia dimainkan.
“Sebuah kain rentang gergasi bersimbolkan haters jelas menunjukkan niat tidak baik pihak tertentu terhadap lagu kebanggaan Kedah dan secara tidak langsung tidak menghormati kehadiran KDYMM Sultan Kedah di pentas utama.
“Mungkin imej haters bersifat umum, namun Pemuda UMNO Kedah ingin mempersoalkan kenapa ianya diturunkan sewaktu lagu kebanggan Kedah iaitu ‘Allah selamatkan Sultan’ dinyanyikan,” katanya.
Katanya lagi, susulan kejadian itu, Pemuda UMNO Kedah pihak terbabit bertanggungjawab dan memohon maaf kepada semua Sultan dan Rakyat Kedah di atas insiden tersebut.
“Pemuda UMNO Kedah mohon agar pihak bertanggungjawab tampil member penjelasan, pada masa sama memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah dan kepada Tuanku Sultan Kedah atas apa jua niat dan tindakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette