SHAH ALAM – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor kesal apabila lima usul berkepentingan rakyat mahu diketengahkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditolak oleh Speaker.
ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Razak berkata usul berkenaan ditolak Speaker Hannah Yeoh Tseow Yuan dengan alasan ia boleh dibangkitkan semasa perbahasan dasar Belanjawan 2018 dan Rang Undang-undang Perbekalan.
“Kerajaan negeri sepatutnya bersikap profesional serta terbuka selaras dengan prinsip demokrasi yang sering dilaungkan oleh Menteri BesarDatuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya kepada pemberita di lobi DUN Selangor di sini, hari ini.
Usul-usul yang dibawa lima ADUN BN itu menyentuh mengenai Ikrar Bebas Rasuah (IBR), institusi Mahkamah Syariah Negeri Selangor, mengembalikan semula peranan asal penubuhan Yayasan Selangor, mengenai lesen pusat hiburan keluarga dan program Oktoberfest.
Sementara itu, Yeoh menyatakan penolakan usul itu bukan saja melibatkan lima usul dikemukakan ADUN BN tetapi juga empat usul yang dihantar kepadanya oleh ADUN PAS, DAP dan PKR.- BERNAMA