Home Nasional Kes saman fitnah Zuraida, Jamal selesai 

Kes saman fitnah Zuraida, Jamal selesai 

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos tiba di mahkamah bagi menghadiri proses mediasi kes saman fitnah oleh Ahli Parlimen Ampang, Yb Zuraida Kamaruddin di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin terhadap pemimpin kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berhubung insiden pukul pada 13 November 2016 akhirnya mencapai jalan penyelesaian hari ini.

Melalui proses mediasi hampir empat jam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, Zuraida dan Jamal mencapai kata sepakat menyelesaikan kes tersebut dengan cara baik.

Hakim Mahkamah Tinggi, S.Nantha Balan berpuas hati dengan proses mediasi berjalan tanpa perlu melalui prosiding perbicaraan penuh.

“Mahkamah dengan ini merakam setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada kedua-dua pihak, YB Zuraida dan Datuk Seri Jamal di atas penyelesaian ini.

“Ini adalah satu kejayaan proses mediasi tanpa perlu kepada perbicaraan penuh,” katanya semasa membuat penghakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Zuraida diwakili peguamnya, N.Surendran dan Latheefa Koya manakala Jamal diwakili oleh peguam, Mohammed Nasser Yusof.

“Melalui sidang mediasi daripada awal pagi tadi, semua pihak dengan bimbingan Yang Arif Hakim, satu kata putus persetujuan telah kami capai. Semua pihak telah pun bersetuju seperti apa yang direkodkan dalam mahkamah.

“Saya mengucapkan syabas kepada Datuk Seri Jamal dan Zuraida kerana mengambil perkara ini dengan cara harmoni dan juga baik dari urusan,” kata Mohammed Nasser Yusof kepada pemberita di luar kamar.

Pada 17 November 2016, Zuraida memfailkan saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang, Selangor.

Zuraida selaku plaintif memfailkan saman itu kaunter pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, melalui Tetuan Daim & Gamany.

Peguam, Mohammed Nasser juga menegaskan, anak guamnya tidak membuat permohonan maaf sebaliknya Jamal hanya menarik balik kenyataan yang ditujukan kepada Zuraida ketika kejadian.

Katanya, Jamal juga berjanji tidak akan mengulangi tindakan mengeluarkan kenyataan dalam insiden 13 November 2016.

“Saya ingin tegasnya di sini tiada ayat maaf seperti mana yang Datuk Seri Jamal katakan tadi, cuma kesal dan menarik kembali keterangan yang telah dihamburkan kepada YB Zuraida oleh anak guam saya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette