Demikian kata Pengerusinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan semua jentera pemuda parti itu kini dalam peringkat membuat persiapan akhir termasuk menyediakan cadangan untuk dimasukkan dalam manifesto BN.
“Pemuda BN sekarang ini berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi PRU14 yang akan diumumkan bila-bila masa saja.
“Cuma saya telah minta semua pemuda komponen BN kemukakan beberapa idea yang boleh dimasukkan dalam manifesto BN,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda BN di Menara Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, cadangan manifesto itu bakal dihasilkan menerusi satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Senator Khairul Azwan Harun.
“Kami rasa bahawa pengundi muda adalah segmen terpenting dalam pilihan raya akan datang. Jadi saya telah minta dalam tempoh sebulan dua ini satu jawatankuasa ditubuhkan.
“Beliau akan buat sumbang saran (brainstorming) dan kemukakan beberapa cadangan supaya dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan BN.
“Ia bakal menjadi sebahagian daripada manifesto dengan memberi tumpuan khusus kepada pengundi muda dan pengundi kali pertama,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.