Home Seni Hidup Yazid Izaham harap tuah single ‘Mudahnya Kau Berubah’

Yazid Izaham harap tuah single ‘Mudahnya Kau Berubah’

KUALA LUMPUR – Pendatang baharu, Muhammad Yazid Mohd Izaham atau lebih dikenali Yazid Izaham mengharapkan single pertamanya ‘Mudahnya Kau Berubah’ untuk menjadi batu loncatan menempa nama dalam industri muzik tempatan.

Video single ciptaan Apit dan lirik oleh Kelinci yang dimuat naik di laman YouTube sejak September lalu mendapat sambutan hangat apabila mencecah tontonan lebih satu juta sehingga membuatkan Yazid, 19, yakin kehadirannya dalam industri muzik diterima ramai.

Penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, itu sama sekali tidak menyangka koleksi video nyanyiannya di laman sosial Smule dan Instagram mampu mengangkat bakat beliau ke persada muzik tempatan sehingga menerima tawaran untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Aries Music sekitar Julai lepas.

“Saya sangat teruja dapat mengembangkan bakat nyanyian saya ke peringkat lebih tinggi lagi melalui kemunculan single ‘Mudahnya Kau Berubah’ yang mendapat respons positif orang ramai.

“Lagu ini mengisahkan seorang lelaki yang ditinggalkan kekasihnya dan masih berharap bekas teman wanitanya itu kembali kepadanya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu undangan program ‘Nine11’ terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini.

Bukan itu sahaja, Yazid mengharapkan kemunculannya mampu menambah seri industri muzik selain mahu memberi saingan sihat kepada barisan penyanyi muda lain seperti Aiman Tino, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, Irfan Harris dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun, beliau sesekali tidak akan mengabaikan pelajarannya di Polisas demi mengejar impian menjadi seorang jurutera pada masa hadapan.

“Saya hanya akan menyanyi jika ada waktu terluang seperti cuti hujung minggu dan cuti semester.

“Jika saya popular sekalipun, nyanyian ini hanyalah secara sambilan sahaja kerana pelajaran tetap menjadi keutamaan,” kata penyanyi kelahiran Ampang itu.

Mengenai langkah seterusnya, anak bongsu daripada empat beradik ini yang mula menyanyi seawal usia empat tahun itu berkata beliau sedang merancang untuk muncul dengan muzik video rasmi single pertamanya selain mahu keluar dengan single kedua tidak lama lagi.- BERNAMA